VISI PROJEK

                   Pertama,

Sebuah masjid perlu dibina berikutan pertambahan penduduk 100% beragama Islam  yang melibatkan pembangunan tiga jenis penempatan – perkampungan asal rumah kampung jenis sesebuah sebanyak 136 unit dengan jumlah penduduk seramai 480 orang, rumah teres dua tingkat di dalam kawasan kediaman Desa Gemilang sebanyak 309 unit dengan penduduk seramai 800 orang, dan rumah berkembar mewah dalam kawasan kediaman Villa Bistari sebanyak 10 unit dengan penduduk seramai 20 orang. Daripada jumlah ahli kariah seramai 1,300 orang, 700 orang adalah lelaki Islam dewasa yang wajib menunaikan solat fardu dan solat Jumaat. Dengan jumlah jamaah seramai 700 orang lelaki untuk memuatkan ruang solat Surau Jumaat Kg Sg Pusu adalah sesuatu yang sukar. Dijangkakan juga, pertumbuhan penduduk akan terus meningkat berikutan meningkatnya kadar kelahiran oleh generasi-generasi pelapis dan baharu yang mendiami di penempatan kampung asal, Desa Gemilang dan Villa Bistari. Untuk pengetahuan tuan, 80% penduduk Desa Gemilang adalah pada julat umur 30-45 tahun lelaki dan wanita yang mempunyai keupayaan reproduksi yang tinggi. Rajah 3 menerangkan lawatan YAD Orang Besar Daerah Gombak meninjau keperluan Kg Sg Pusu untuk mendirikan sebuah masjid. 

                  Kedua
Berikutan ketiadaan dana, Jawatankuasa Surau Kg Sg Pusu, telah mendapat kebenaran mendirikan Solat Jumaat berikutan kesulitan penduduk hampir 40% adalah warga emas untuk menunaikan Solat Jumaat ke Masjid Zakaria (masjid kariah) sejauh 5.9 km dan laluannya bukanlah laluan kenderaan awam. Susulan daripada kebenaran mendirikan solat Jumaat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), maka majoriti ahli kariah mahu menunaikan solat Jumaat di surau ini tetapi, kapasiti Surau Kg Sg Pusu tidak dapat menampung bilangan jamaah yang semakin bertambah. Bagi mengatasi masalah ini, untuk langkah jangka pendek, pihak Surau Kg Sg Pusu telah membuat ruang limpah berdasarkan kutipan solat Jumaat dan sumbangan biasa yang diterima dari jamaah yang hadir untuk solat Jumaat dan solat-solat fardu.

                   Ketiga
Surau Solat Jumaat Kg Sg Pusu ini telah dibina sejak tahun 1960 di atas tanah milik Jabatan Kemajuan Masyuarat (KEMAS) dengan kebenaran khas dan ia didirikan dengan ihsan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.  Walaupun ia sudah dibaiki dan diubahsuai oleh penduduk kampung, ia tidak mampu bertahan lama berikutan kadar ubahsuai yang dilakukan. Berikutan transformasi luar bandar, pihak KEMAS juga ada perancangan untuk mengubahsuai TABIKA dan kemudahan lain yang termaktub dalam agenda pembangunan luar bandar. Jika ia berlaku dalam masa terdekat, surau sedia ada juga perlu dialih ke tanah rizab milik Jabatan Parit dan Saliran yang berhampiran. 

                  Keempat
Seorang pendudduk kampung yang telah mewakafkan sebidang tanahnya untuk diwakafkan sebagai tapak masjid pada tahun 2008. Ketua Kampung Sg Pusu telah membuat permohonan penukaran hak milik dengan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan perwartaan sudah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Selangor pada tahun 2009. Namun begitu, tapak masjid ini masih belum lagi dibina berikutan kekangan dana yang dialami oleh penduduk Kg Sg Pusu. Rajah 4 adalah gambar pewakaf untuk tapak masjid iaitu Tuan Haji Mohd Yusop, merupakan salah seorang peneroka perintis Kg Sg Pusu yang sudah berusia melebihi 90 tahun. Beliau adalah Tuan Haji Yusuf. Seperti gambar dibawah.



                  Kelima
Berdasarkan profil sosio-ekonomi ahli kariah dan komitmen yang dizahirkan, usaha untuk mendapatkan dana dan komitmen untuk membina masjid Kg Sg Pusu, dengan izin Allah, mampu merealisasikan harapan ini.